Rabu, 26 Ogos 2015

15 Masakan (dan resipi) Sebelum Merdeka Yang Paling Diingati Oleh Ayah Saya


Ayah saya lahir pada 3 haribulan Februari tahun 1945. Lahir sebagai anak antara yang awal dalam keluarga besar Tok Telang di Kuala Lipis, Pahang Darul Makmur. Ayah saya bernama Haji Wan Muhammad Bin Haji Wan Abdullah.

Merdeka pada tahun 1957, dengan maksud abah saya sempat menjamah beberapa seleksi makanan selama 12 tahun. Malah tidak ada perbezaan yang ketara dari segi makanan sebelum, semasa dan selepas Merdeka katanya. Beberapa tahun selepas Pengistiharaan Merdeka barulah mereka kerap ke sungai mencari ikan yang bersaiz besar dan memburu haiwan dan burung dengan giat.

Ayah saya seorang guru dan pencen sebagai Guru Besar di Sekolah Kebangsaan Lakum, Lanchang pada tahun 2000. Memulakan tugas mengajar di Johor pada tahun 1968. Mempunyai tujuh orang anak, seorang isteri dan setakat ini sembilan orang cucu. Beliau menetap di Mentakab, Pahang Darul Makmur. Selepas bersembang di telefon selama hampir 30 minit, akhirnya abah saya pula yang bersemangat untuk perkongsian saya kali ini. Beliau mendapatkan barang mentah dari Pekan Sehari Temerloh siap bersama dengan resipi yang diberikan kepada saya. Terharu dibuatnya.


Kesemua resipi ini adalah dari abah saya sendiri, saya hanya masak mengikut resipi yang diberikan, ambil gambar dan kongsi kepada kalian. Semoga ia bermanfaat untuk Merdeka kali ini dan seterusnya, Sehati Sejiwa.

Berikut adalah 15 Masakan yang dikongsi kepada saya untuk saya kongsikan pula kepada kalian. 

(1). Masak Lemak Telur Itik.


Masakan ini akan dihidang kepada keluarga apabila musim telur itik masih banyak. Kebiasaan kelapa tua akan diambil dan dikukur. Kemudian akan diletakkan sedikit air suam untuk diperahkan santannya. Cara masakannya agak mudah berbanding zaman ini yang dipenuhi dengan pelbagai rencah.

Bahan-bahannya ialah:
 2 biji telur itik
1 batang serai
1/2 biji kepala parut (ambil santannya dengan dua cawan air suam)
1 inci kunyit hidup
sedikit garam

Caranya ialah, didihkan santan bersama dengan serai, kunyit hidup dan garam. Apabila sudah muda mendidih, pecahkan telur dan biarkan (jangan kacau) sehingga masak. Sedia untuk dihidang bersama nasi putih yang masih panas.

(2).  Cucur Pisang Lecek Bersama Kelapa, Air Pandan dan Gula Kabong


Cucur ini pula menjadi bekalan kepada seisi keluarga yang mahu keluar membuat urusan di luar. Saya sendiri juga sukakannya. Tekstur pisang yang masih lembik, keharuman pandan dan kemanisan gula kabong masya-Allah memang sedap.

Bahan-bahannya ialah:
9 biji pisang emas yang sudah masak ranum
1/2 buku gula kabong
1 senduk tepung gandum
7 helai daun pandan yang ditumbuk halus kemudian di rebus bersama 1 cawan air dan gula kabong

Cara-caranya ialah, lecekkan pisang (jangan terlalu halus) kemudian campurkan semua bahan. Goreng dalam minyak panas.


(3). Nasi Goreng Kelapa dengan (4).Ikan Perkasam



Orang dulu-dulu jarang kali membazir lebihan makanan. Kelapa kukur yang yang telah diambil santan tadi masih lagi boleh digunakan. Zaman dahulu juga memang tidak ada peti ais seperti zaman ini. Maka semua bahan akan diguna pakai sebaik mungkin.

Oleh yang demikian, kelapa tadi digunakan untuk digoreng bersama nasi.

Bahan-bahannya ialah
1 cawan nasi putih yang masih panas
1/2 cawan kelapa kukur (kelapa parut)

Caranya ialah: Panaskan kuali (tanpa minyak) dan masukkan kelapa, apabila kelapa sudah kekuningan, terus masukkan nasi dan gaul rata.

Bagi ikan perkasam pula, ianya adalah ikan paya (seperti ikan puyu, ikan sepat dan sebagainya) yang diperam bersama beras dan garam kasar. Ikan-ikan ini akan lebih tahan lama untuk dijadikan makanan seisi keluarga.

Biasanya untuk menyediakan ikan perkasam yang telah siap diperam ialah hanya dengan menggoreng ikan tersebut. 

(5). Sambal Asam Rong 


Sambal ini rupanya antara kegemaran ayah saya. Saya fikir beliau tidak berapa gemar dengan masakan yang agak pedas, tetapi Sambal Asam Rong ini berbeza, ianya lemak dan boleh dimakan begitu sahaja.

Asam Rong ini ialah isi kepada buah perah yang telah direbus sehingga empuk. (boleh google, ianya berwarna hitam). Jika tersilap masak, ia boleh jadi mabuk dan muntah-muntah. Rata-rata orang Pahang pandai memasak masakan ini. Untuk sediakan Sambal Asam Rong, hanya perlukan beberapa biji Asam Rong yang sudah direbus empuk, kemudian ditumbuk lumat bersama sedikit cili padi dan secubit garam. Itu sahaja, makan pula dengan nasi panas, subhanallah memang terbaik.

(6).  Emping Tumbuk Halus Bersama Kelapa dan Gula Kabong dan (7). Emping Gaul



Di Pekan Sehari Temerloh, boleh sahaja didapati emping-emping ini dengan mudah. Emping ini dibuat dari beras kemudiannya ditumbuk dan menjadi kepingan-kepingan yang boleh dimakan terus.

Untuk Emping Tumbuk Halus, saya terpaksa kisar untuk mendapatkan tekstur yang betul-betul halus. Emping ini kemudiannya disatukan dengan kelapa kukur dan hirisan gula kabong. Masya-Allah sedapnya bukan main.


Begitu juga dengan emping ini. Hanya perlu gaul bersama dengan kelapa parut dan gula kabong yang disagat halus. Sedap masya-Allah.

(8) Bakar-Bakar.


Pada zaman Merdeka, bakar-bakar ini sudah menjadi kebiasaan. Mereka akan membakar ubi kayu, keledek, pisang malah labu. Semuanya dibakar hingga menjadi empuk dan dimakan bersama kelapa yang telah dikukur.

Saya juga telah merasa, cuma saya bakar dalam ketuhar. Mungkin rasa tidak sama kerana aroma bakar sebenar tidak ada, tetapi masakan ini tetap sedap dan dipuji isteri. Masakan paling mudah dalam dunia saya fikir. 

(9). Telur Dadar Ayam Kampung Dengan Kelapa Kukur


Jika mahu makan bersama keluarga, telur ayam kampung yang dikacau laju bersama kelapa ini akan menjadi rebutan. Telur ini akan dimasak dadar dan istimewanya akan dimakan bersama nasi putih dan cili padi. Memang sedap.

Bahan-bahannya ialah:
2 biji telur ayam kampung
2 sudu besar kelapa parut (kukur)

Caranya ialah: pukul telur ayam kampung dan masukkan kelapa, terus pukul sehingga betul-betul berbuih dan lekas goreng dalam minyak yang sedikit. Hidangkan bersama nasi putih dan cili padi.

(10). Ikan Puyu Masak Asam Tempoyak 


Ini masakan yang saya suka. Rupa-rupanya tempoyak adalah makanan yang menjadi tradisi masyarakat Pahang dari sebelum Merdeka lagi. Tetapi pada waktu tersebut, mereka hanya memasak gulai asam tempoyak ini bersama dengan ikan dari paya-paya berdekatan. Untuk mendapatkan ikan bersaiz besar seperti sekarang sangat-sangat jarang sekali.

Ikan puyu antara kegemaran mereka, malah ada juga antara ibu mereka yang menyiapkan ikan puyu ini sebagai perkasam.

Untuk masak gulai tempoyak ikan puyu ala sebelum Merdeka, bahan-bahannya ialah:
2 ekor ikan puyu
1/2 senduk tempoyak
2 inci kunyit hidup
1 genggam daun kesum
1-2 cawan air
sedikit garam.

Cara-caranya ialah satukan semua bahan dalam periuk dan jangan kacau supaya ikan tidak hancur. Perasakan dengan garam.

(11). Jeruk Maman 


Ramai yang mengetahui tentang jeruk maman ini. Malah menyediakannya juga mudah. Pokok maman ini biasa memang hidup sendiri di halaman rumah di kampung-kampung, maka untuk mendapatkannya sangat mudah. Pokok maman ini kemudiannya dijerukkan bersama beras dan garam (juga cili) dan disimpan beberapa hari. Kemudian dihidangkan bersama nasi panas.

(12). Ubi Rebus dan (13). Kelapa Gaul Gula Kabong



Pada zaman ini, ubi rebus ini disediakan dengan regu yang berbagai. Ada yang sukakan ubi ini dihidangkan bersama gula semata, ada juga bersama dengan sambal bilis yang ditumis pedas. Tetapi masyarakat di Kampung Relong, Kuala Lipis menyediakan ubi rebus ini bersama dengan kelapa yang digaul rata dengan gula kabong. Malah, gula kabong tersebut mestilah original dari Kampung Benta, Kuala Lipis.

Bahan-bahan
2-3 biji ubi kayu
5-6 cawan air

Caranya ialah: rebus ubi ini sehingga empuk. Untuk menyiapkan regunya pula, ambil 1/2 buku gula kabong kemudian disagat halus dan digaul bersama satu senduk kelapa yang telah dikukus. 


(14). Lempeng Pekak Dengan Gula Kabong



Aha, kita biasa makan masakan ini bukan? Ya! Ini juga masakan yang biasa pada sebelum dan selepas Merdeka. Menyediakan lempeng ini sangat mudah malah memasaknya juga sangat senang. Cuma di Kuala Lipis, mereka sudah terbiasa untuk makan bersama gula kabong. Ya Allah memang sedap.

Bahan-bahannya ialah
2 senduk tepung gandum
1/2-1 1/2 cawan air suam
sedikit garam

Caranya ialah hanya gaulkan semuanya dengan sebati dan kemudian goreng di kuali leper. Hidangkan bersama gula kabong.

(15). Ubi Getuk Dengan Kelapa dan Gula Kabong


Jika ada banyak ubi kayu (terutama musim hujan) maka ubi getuk yang teksturnya agak lembik akan dimasak oleh ibu-ibu. Ubi ini direbus empuk kemudian terus dilenyek hingga lumat.
Bahan-bahannya ialah:
3-5 biji ubi kayu
1/2 buku gula kabong
1 senduk kelapa parut

Cara-caranya ialah
Rebus ubi kayu hingga empuk kemudian dilecek dan dilenyek hingga betul-betul lumat, kemudian digaul bersama gula kabong yang telah disagat halus dan kelapa. Kemudian ditekan dan ditutup rapat. Biasanya mereka akan tindan dengan benda berat seperti lesung batu supaya ubi getuk ini betul-betul padat.Selamat mencuba kawan-kawan, yang ini sangat sedap. Saya siap simpan dalam peti ais untuk dimakan setiap hari. 

***

Semoga perkongsian abah saya ini dapat mengembalikan memori ibu bapa kalian pula. Memerdekakan Malaysia bukan perkara mudah, dan memang benar ibu bapa saya tidak terlibat dalam hal-hal kemerdekaan masa lalu, tetapi mereka memerdekakan pemikiran anak-anak dan anak murid untuk mereka terus berjaya dalam arus permodenan sekarang.

Saya suka makan, makanan dan masakan, jadi inilah sahaja sedikit perkongsian yang mungkin boleh menjadi bahan bacaan dan rujukan buat kalian. Semoga ia bermanfaat. 

Selamat menyambut hari Merdeka ke-58. Sehati Sejiwa. 

Dari Keluarga Wan Khairul Hakimin Bin Haji Wan Muhammad.
26/08/2015. 
Abuain.


Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Kategori

#tulis2014 (3) 10negara (1) 2 Nurul (37) 30 resipi terbaik abuain (2) Abuain (115) abuainkitchenstudio (143) acheh (1) adunan (1) adventure (6) agom (2) alleppey (1) alumni (1) appertizer (1) art class (1) azreen yusof (3) babah ailebiu! (3) backpack 2.0 (12) BackPacker (42) bakar (3) banda aceh (3) belajar berniaga (1) bengkel blog (6) bengkel ebook (5) biskut raya (20) Blogger (10) breakfast (6) buah (1) bubur (1) Buku (23) buku resipi (6) cabaran (2) cabaran34hari (1) cabaran70hari (31) cafe (1) cake (1) catatan kehidupan (2) ceritarasa (15) chefadu (25) chefizyan (31) chiang mai (3) china (1) choc bars (3) chocolate (4) coaching (1) cochin (1) coklat (5) compote (1) corat coret (1) cupcakes (1) cuti sekolah (3) daging bakar (2) demo (1) desserts (101) dhuhawithme (1) diaribuatnurulain (6) doh roti (14) Drama dan Filem (3) dubook (1) ebook (14) ebook anak-anak (3) ebook kehidupan (3) ebook resipi (4) ebook tips (5) ebooktravel (11) emak rindu erissery (4) enampuluhliter (3) exhibition (3) fotografi (1) grill (1) houseboat (1) ibubapa (2) idola (1) ikan sungai (5) ikandilaut (20) ikon (1) Ilmu (3) india (21) indonesia (3) info rempah (1) inktober (1) izyanhani.com (3) jadual kelas (28) jalan-jalan (2) jalan-jalan keluarga (2) junior masterchef (7) kambing (3) kamera (1) kanak-kanak (6) kaum hawa (1) kawan (2) kebajikan (1) kedai makan (1) kehidupan (21) keju (2) kek (38) kek cawan (4) kek keju (2) kek kukus (1) kelas (20) kelas anak-anak (9) kelas melukis (5) kelas nasi beriyani (3) kelas online (5) kelasmemasak (36) keluarga (21) kerepek (1) keropok (1) ketam (1) khasiat (1) kids art & workshop (2) kmms (1) kochi (2) koko (1) Kompius (13) korban (2) korean bapsang (4) kuih raya (2) kukus (1) kurma (2) kurma balls (1) letsmasak (1) liputan media (2) lunch (4) maha2014 (1) majalah (5) Majlis Ilmu (23) Mak Abah (20) Makanan (11) mari mengaji (1) masakan (1) masakan anak-anak (1) Masakan Arab (5) masakan barat (11) masakan ikan (10) masakan india (24) masakan indonesia (2) masakan jepun (1) masakan kampung (47) masakan korea (4) masakan mee (2) masakan melayu (10) masakan thai (10) masakmasakblogger (5) masterchefmalaysia (9) mee (2) memanis kehidupan (24) memori (2) memori masakan ibu (2) mentakab (2) menulis (4) merdeka (1) MH17 (1) MH370 (1) minuman (2) momandkids (9) motivasi (1) msu (1) munnar (1) musafir (12) muslimbackpacker (12) nasi (6) nasi goreng (2) nasi kukus abuain (2) news (1) nubook (1) Nurul'Ain (3) pahang (1) pakejmakanmalam (1) Pameran Herba Malaysia (3) parota (1) pasta (1) pbakl (1) pemanis mulut (2) pemasaran (1) pencuci mulut (108) penerbit (14) pengalaman (7) pengat (1) penulis (33) penulis jemputan (7) penulisan (2) penulisbuku (30) perfume (2) Perkahwinan (6) pestabuku (1) photography (1) pie (2) produk abuain (2) projek100ebook (7) pru13 (1) puisi (3) pulut (1) ramadan (8) RAYA 2015 (2) raya2014 (1) rempah (2) rempah ratus (1) resepi (26) resepi ayam (17) resepi brownies (32) Resepi Jem (1) resepi kari (6) resepi kek (37) resepi kerabu (4) resepi pai (5) resepi pizza (7) resepi puding (7) resepi sayur (17) resipi berbuka (2) resipi biskut (23) resipi daging (21) resipi emak (3) resipi ikan (15) resipi kek (34) resipi kuih melayu (26) resipi minum petang (18) resipi minuman (1) resipi roti (17) resipi sihat (3) resipi sos (3) resipi sup (3) resipi tanpa bakar (3) resipi tart (1) resipi telur (4) resipi western (5) reviewkelas (5) ringkas (2) Sahabat (46) salad (2) salwa (1) sambal (7) sandwich (1) santanwangi (3) sarapan (10) Saya (95) sayangi anak (3) sayuran (16) seafood (8) sejuk beku (1) sembang produk (42) sembang travel (8) Seminar (2) senangnya memasak (3) SenyumPictures.com (12) sirah nabi (2) sotong dan udang (4) story (1) subway (1) Surat (4) talk (2) tart (1) teaser (1) tepung premix (3) thailand (16) tips berniaga (1) tips ramadan (6) tips sales online (1) tipsmengembara (2) tipstravel (9) tom yam (3) tradisi (6) travel (5) travelog (17) Travelog Kochi (8) trivia2014 (1) tsunami (2) universitylife (1) untuk wanita sahaja (1) ustaz (1) v (1) vege (1) visitmalaysia2014 (1) wajibbaca (22) wedding (1) western (5) workshop (1) wrap (1) yang pergi (2)