Isnin, 24 November 2014

Memanusia Diri Sendiri




Memanusia Diri Sendiri.

Hari hari mendengar dan membaca kisah popular kejayaan orang ini dan orang itu. Benarlah kisah mereka semua menaikkan semangat kita. Dan lebih benar apabila kita juga ingin jadi sehebat mereka. Alhamdulillah.

Saya pula hidup dalam kegagalan yang amat banyak. Malah satu persatu peristiwa yang saya hadapi bagai tidak ada penghujung.

UPSR, 2A 1B  dan 1C. Saya gagal memenuhi kehendak emak dan abah. Hanya sekadar melintasi setiap kejayaan adik beradik lain yang jauh meninggalkan saya dalam pencapaian peperiksaan. Subhanallah.

Malam mahu menduduki peperiksaan, saya masih di wad Hospital Bandar Jengka. Emak dan abah menenangkan saya yang saya sebenarnya membuka jalan terbaik dengan keputusan sebegitu. Emak mengindahkan lagi ayat memujuk yang sebenarnya keputusan saya itu adalah ‘baik’.

Sehingga sekarang saya rasa emak dan abah menipu. Saya tahu emak mahu menyedapkan hati saya. Kesedapan dan Bahasa yang lunak itulah menyebabkan saya hidup sehingga sekarang.

Abah berusaha memasukkan saya ke Sekolah Agama, malangnya hanya bertahan setahun sahaja. Banyak sangat perkara yang berlaku menyebabkan saya kembali di ditarik ke sekolah biasa. Gagal lagi.

PMR, 3B 4C dan 1D. Selepas berpindah ke Sekolah biasa, saya dimasukkan ke kelas D. Tidaklah kelas corot, tetapi kelas yang sudah pun terkebelakang. Saya berusaha memperbaiki diri sendiri dan Alhamdulillah, masuk sahaja tingkatan 3, keputusan peperiksaan akhir menyebelahi saya untuk ke kelas A.

Disini saya pula tidak dapat menyesuaikan diri, kelas A memang sesuai dengan budak-budak A. Saya bukan ‘kelas A’. Akhirnya saya tidak dapat memenuhi kehendak emak dan abah. 1A pun tak dapat. Saya kembali menyalahkan sakit yang Tuhan beri kepada saya. Malam mahu masuk periksa, saya juga sakit teruk.

Saya diterima masuk ke asrama sewaktu tingkatan 4. Kehidupan di asrama merubah serba sedikit kehidupan biasa di rumah. Tetapi abah pula ditukarkan ke Lanchang, Pahang dan akhirnya saya menurut untuk ditukarkan apabila masuk sesi tingkatan 5.

Di tingkatan 5, saya cuba merubah diri supaya rajin belajar di kelas, tetapi tidak dirumah. Di rumah saya lebih rajin memasak dan membantu emak. Bila emak suruh belajar, saya akan masuk bilik dan tidur. (ha ha), akibatnya saya mendapat keputusan peperiksaan sijil pelajaran Malaysia dengan pangkat 2, 25 aggregat. Punah harapan emak dan abah untuk sekali lagi. Dan kali ini saya betul-betul terduduk.

Terjelepuk bagai sudah tidak mampu bangun. Tahun 1998 pula sinonim dengan kebangkitan anak-anak muda menyokong dunia reformasi ciptaan DSAI. Walaupun waktu itu gelombang perubahan berjaya menarik anak-anak muda menyertai gerakan mahukan keadilan sewajarnya diberi kepada beliau, saya akhirnya akur tidak tertarik dengan semua itu. Gagal saya lebih dari itu.

Merayu kesana kemari untuk mendapatkan tempat ke Universiti, abang kakak semua sudah berjaya, saya masih mencari-cari. Akhirnya diterima masuk ke sebuah kolej swasta mengambil jurusan sains komputer. Saya gagal meneruskan pengajian kerana CGPA tidak melepasi 2.0. Masya-Allah.

Kolej Kehidupan

Akhirnya saya kembali tinggal dengan emak dan abah. Mencari kerja dan cuba lagi memasuki mana-mana university. Saya bekerja di McDonnal Mentakab. Dengan gaji lebih kurang RM400-600 sebulan, saya berusaha menyimpan sebaik mungkin. Hari-hari saya cuba menceriakan emak, terutama apabila ada jiran yang bertanya kenapa anak Cik Ani yang seorang ini tidak sambung belajar. Alangkah hancurnya hati waktu itu Allah sahaja yang tahu. Penyesalan malas belajar sudah tidak ada makna, hanya yang diperlukan ialah buat sesuatu supaya semuanya boleh dibayar balik. Penyimpanan wang yang saya usahakan berbaloi apabila boleh digunakan sepenuhnya untuk membayar yuran pertama masuk belajar di kolej.

Akhirnya saya diterima masuk ke KUSZA. Oktober tahun 2000 tahun saya mendapat ‘sesuatu’. Angin yang tidak habis-habis menolak saya menuju gaung dalam akhirnya dapat diatasi dengan pemangkis kukuh. Hujan juga kembali tidak menyebabkan bah, sekadar menyubur hidup benih-benih yang mahu kembali mencambah.

Saya berkawan dengan rakan-rakan yang baik-baik. Mereka sudah boleh digelar keluarga. Semester pertama saya memberi emak senyum dengan mata lebih 3.0. Walaupun hanya memaklum menggunakan telefon awam, kegembiraan emak nyata dalam perbualan. Berkali-kali emak mengucap tahniah. Saya gembira bukan kepalang.

Masuk semester ke dua saya dicalonkan untuk bersama dalam kepimpinan pelajar, perlu bertanding pilihanraya kampus. Alhamdulillah, menang dan kemudiannya dilantik menjadi setiausaha agong kepada Tuan Presiden DTP, Dewan Tertinggi Pelajar. (Sekarang lebih popular disebut MPP – Majlis Perwakilan Pelajar).

Pembelajaran terganggu, program bertimbun. Semuanya jadi kucar kacir. Akhirnya satu demi satu semester  menunjukkan rekod keputusan peperiksaan yang agak mengecewakan. Walaupun begitu, Alhamdulillah saya habis belajar di KUSZA.

Saya menyambung pelajaran di KUTPM, Shah Alam (Sekarang MSU). Mengambil jurusan sains pemutusan. Menariknya dengan kursus ini ialah banyaknya matematik. Bagi penggemar nombor, kursus ini amat sesuai, dan buat pertama kalinya saya rasakan hidup semasa belajar. Jika tidak, waktu belajar adalah waktu yang paling saya tidak sabar, semua kelas yang saya perlu duduki adalah perkara yang amat berat untuk ditanggung. Malas. Subhanallah teruknya waktu itu.

Saya mengambil peluang melakukan kerja separuh masa di Nidz Catering waktu ini. Sungguh cantik caturan Tuhan. Semasa di Nidz, segala dunia kulinari saya cuba korek. Hinggalah pencarian itu sangat bermakna pada hari ini. Subhanallah.

Semester pertama saya berjaya naik ke pentas mengambil sijil anugerah dekan (waktu itu disebut anugerah presiden), dan semester lainnya berlalu dengan sangat pantas, semua keputusan peperiksaan membuatkan saya rasa mahu sambung lagi belajar. Alhamdulillah. Kejayaan yang paling manis ialah menyiapkan kertas kerja bersama dengan empat lagi kawan. Syukur Alhamdulillah.

Waktu berlalu, dalam pekat-pekat malam angin pula malu-malu mahu menampar pipi, ingatan terus menerus kepada kehidupan selepas belajar. Saya diterima masuk bekerja di sebuah syarikat pengeluar cip kayu yang biasanya digunakan untuk perabot-perabot di seluruh Negara. Malang bagi saya waktu itu kerana beberapa masalah yang timbul menyebabkan saya tidak sabar-sabar ingin keluar.

Kematangan Dunia Pekerjaan

Akhirnya saya diterima masuk ke Organic Gain Sdn Bhd. Syarikat yang paling saya sukai setakat ini. Syarikat ini banyak mengajar saya tentang kehidupan. Bertugas sebagai juru jual (Salesman) memang menghambat rasa malu yang amat sangat. Ya lah, perlu berhadapan dengan manusia-manusia yang kita tidak kenali dan perlu mempromosikan produk. Ada pula KPI yang telah ditetapkan oleh Puan Eliza, satu hari mesti berjumpa sekurang-kurangnya 10 orang!. Pengalaman tidak ada, malah semua teknik perlu dipelajari sendiri-sendiri.

Kadang-kadang menghantar barang hanya berbekalkan wang kurang RM5. Tidak sempat makan, balik ke rumah sangat lewat, awal pagi pula sudah perlu ada di pejabat untuk kemaskini data sebelum kembali ke kedai-kedai untuk tujuan promosi, semuanya memenatkan. Tetapi puas! Pernah sekali bersama dengan Puan Eliza di Giant Shah Alam, kereta saya pula ditarik oleh pihak bank. Kami berdua terkontang kanting di tepi jalan. Akhirnya setelah berunding dan membayar lebih amaunnya kepada tukang tarik kereta, kami dapat pulang dengan penat dan segala lelah, apabila sampai sahaja di pejabat, disambut gelak ketawa Tuan Yusof dan Cik Puan Zawiah mendengar kisah kami. Kami semua bagai saudara!

Syarikat ini syarikat kecil yang berjiwa besar. Cita-citanya bagai Al-Fatih yang mahu menawan Konstatinople. Perancangan dalam sesuatu perkara dibuat dengan sungguh teliti, malah setiap produk yang dikeluarkan wajib menjalani beberapa proses yang super terperinci. Kagum saya dibuatnya. Ditambah pula dengan kakitangan yang berjiwa seperti Salahuddin, konsep dan budaya kerja yang bersungguh-sungguh menerapkan Jemaah dalam semua perkara, syarikat ini syarikat contoh!

Panas tidak sampai ke petang, akhirnya saya memasuki dunia korporat dan meninggalkan Organic Gain Sdn Bhd pada bulan kemerdekaan Malaysia tahun 2007, hampir setahun usia perkahwinan waktu itu.

Setahun demi setahun berlalu dengan biasa-biasa. Anak pula belum ada. Malah sehinggalah perkahwinan berusia lima tahun, saya mula merasakan saya menantu yang gagal, saya suami yang gagal, saya anak yang gagal. Semua yang saya buat mula serba tidak kena, yang saya usahakan semuanya mendapat tentangan, malah ada sahaja kesilapan demi kesilapan yang saya lakukan sama ada secara baik atau tidak . Masya-Allah.

Berkahwin dengan keluarga sempurna menyebabkan saya yang asalnya riuh rendah dirumah sendiri menjadi seorang yang sangat introvert di rumah mertua. Saya segan dan sangat malu dengan saratnya kelemahan yang saya ada berbanding ipar duai dan biras-biras. Mereka ini semuanya cerdik pandai, malah jawatan dan kerjaya mereka juga bukan calang-calang.

Kadang-kadang mahu berbual pun saya tidak reti mahu masuk bagaimana, sesekali cuba menyampuk, mereka terus diam! (ha ha).  Akhirnya saya ketawa kecil sendiri. Ini bukan dunia saya, tetapi inilah yang saya bakal lalui sepanjang hidup, eloklah saya bersangka baik dan ‘enjoy’ dunia baru saya ini.

Tuhan Maha segala-galanya, 5 tahun 6 bulan dan 4 hari Nurul ‘Ain lahir. 9 bulan sebelumnya semasa Allah SWT mencampakkan roh si kecil kesayangan kami semua ini ke dalam rahim isteri, kehidupan saya sudah mula berubah seratus peratus.

Nurul ‘Ain lahir sarat dengan suasana kegembiraan. Emak dan abah berkongsi rasa sama, emak dan abah mertua juga sama mencurah segalanya dengan menyediakan itu dan ini. Adik beradik, ipar duai, biras serta seluruh rakan dan taulan bergembira menyambut kehadiran si kecil ini. Syukur kami syukur yang sama, kami bersyukur Tuhan memberi pinjaman besar ini, kalian pula bersyukur Allah menyayangi kami memberi pinjaman ini. Subhanallah. Nikmat dan keseronokan yang tidak akan dilupakan hingga sepanjang hayat.

Hubungan kami suami isteri semakin rapat, dahulunya saya pemarah, panas baran, super sensitive dan pelbagai lagi peel buruk, kini semuanya perlu ditahan perlahan-lahan kerana takut-takut seman pada anak. Punyalah berjaga itu dan ini hingga akhirnya menjadi kebiasaan menahan sabar. Subhanallah, indahnya ciptaan Allah, emosi yang Allah SWT cipta ini rupa-rupanya boleh dikawal. Oleh sebab itulah memang perlu di kekang segala yang tidak elok, dan terus menerus berusaha berbuat segala kebaikan.

‘Plan B’

Pada Januari 2014, saya dan isteri menubuhkan Abuain Kitchen Studio. Tempat meluah minat terhadap dunia masakan. Ramai yang mengangkat penubuhan studio ini adalah kejayaan besar buat saya. Masya-Allah tuan tuan. Tidaklah sampai begitu.

Studio ini dibuka asalnya kerana mendapat beberapa projek yang sedia ada, yang jumlahnya RMnya diluar jangkaan. Tetapi tiba-tiba ianya ditarik balik oleh sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan dan menyebabkan kami semua terpaksa mengadakan ‘Plan B’.

‘Plan B’ kami bermula dengan modal yang sangat sedikit. Banyak kali menghadiri seminar dan penghayatan dalam dunia perniagaan, saya berpegang kepada prinsip ini:

‘Biar kecil asalkan menjadi’.

Bermula dengan mempromosikan dengan kawan-kawan blog dari ‘Kite-Kite Aje’, kemudiannya berkenalan dengan Chef Adu (Juri Masterchef Malaysia) dan Chef Izyan Hani (Juara Masterchef Malaysia musim ke-2) serta akhirnya mencabar diri menyiapkan cabaran memasak 70 hari dari 106 resipi dari buku mereka. Semuanya nampak cantik disusun rapi, tetapi ianya adalah jalan dari Tuhan. Masakan yang pernah berjalan kaki dalam pekat malam untuk ke surau tidak akan diterang cahaya semasa menuju berjumpa Allah nanti, itu jugalah yang berlaku kepada kami selepas kami berusaha sungguh-sungguh dan menjaga tertib dalam berniaga.

Keajaiban Tuhan satu demi satu berlaku di hadapan mata. Subhanallah.

Kini, selaut syukur pada Allah. Abuain Kitchen Studio makin lama makin dikenali dan disegani. Syukur Alhamdulillah. Satu persatu kelengkapan ditambah, dahulunya hanya keluar di blog, selepas itu majalah, Alhamdulillah terus ke televisyen. Subhanallah!

Dahulunya segan-segan dipanggil Chef kerana memang tidak punya kelayakan, kini saya biarkan sahaja. Nampak poyo, tetapi mahu. 

Memandaikan Anak

Hari ini, kita di galak supaya berlumba memandaikan anak-anak. Kita dipenuhi dengan gadget dan teknologi yang saling bersaing aplikasi apa yang terbaik. Anak-anak semua penuh dengan A, tetapi kurang dengan akhlak.

Anak-anak di gadaikan dengan pembelajaran subjek khas di sekolah, tetapi di rumah dibiarkan dengan menonton tv dan video di internet tanpa had dan kawalan. Gadai belaka.

Saya punya kerisauan yang mendalam. Kegagalan saya pada waktu pembelajaran tidak menyentuh ke dasar bumi hingga menenggelamkan isu akhlak, ya memang nakal tetapi tidak menjadi jahat. Saya masih ditertibkan dengan adab memanusiakan manusia. Emak dan abah menerapkan budaya belajar adalah perkara nombor satu. Tetapi mengadabkan ilmu supaya beramal dengan apa yang di ajar adalah perkara asas dalam pembelajaran. Itu penting.

Jika adab dalam satu-satu perkara itu pincang, yang pandai akan nampak kurang ajar, biadapnya akan kehadapan, lancangnya mulut akan nampak sebagai pemberontakan malah silap-silap ibu bapa juga akan jadi mangsa kepada kepandaian anak-anak. Jadi hamba kepada anak-anak sendiri.

Ernakulam, India

Pemergian ke India adalah dengan beberapa matlamat. Asasnya ialah mahu melihat kekaguman kekuasaan Allah pada setiap penciptaan. Ianya berjalan dengan baik. Segala memori yang saya pahatkan diatas adalah untuk memandaikan pembaca supaya jika kalian keluar menjelajah, kalian perlu saling kenal diri kalian sendiri. Mengingati sejarah sendiri adalah memori terbaik untuk disimpan sebagai teladan. Malah, teruskan berkenalan dengan diri sendiri yang Tuhan cipta sebaiknya ini sehingga kalian jumpa satu titik indah yang inilah Tuhan cipta supaya kalian kenal dengan Tuhan.

‘jika mahu kenal orang, pergilah bermusafir dengannya’.

Pepatah ini sinonim bagi kita semua. Semua suka gunakannya. Malah, sering kali digunakan bagi manusia yang konon-konon mahu kenal luar dan dalam rakannya. Ini tidaklah terjadi dalam satu perjalanan sahaja. Masakan kalian boleh kenal segalanya dalam sehari dua.

Memang ia, kalian boleh nampak sifat sebenar manusia jika kalian berkelana kemana-mana. Tetapi alangkah indahnya jika sudah kenal, kalian saling bertolak ansur dengan segala kekurangan  dan kelemahan yang ada. Jika kalian rasa kalian juga penuh kekurangan, maka dengan sendirinya kalian juga ada rasa aib dan malu jika rakan kalian sudah kenal siapa diri kalian yang sebenar.

Bagai suami isteri,
Kurangnya di bantu, lebihnya di dipuji,
Aibnya ditutup, celakanya di simpan,
Senangnya di kongsi, Gembiranya sama dirasakan.

Dengan ini, kalian tidak akan rasa gagal dalam bermusafir, tidak pula gagal dalam bersaudara dan berkawan. Insya-Allah.

Hendak memanusiakan diri sendiri, perlu mula dengan diri sendiri. Dan akhirnya ingin berjaya dalam tangga tinggi manapun, kejayaan yang sebenar ialah bukan apa yang kita usahakan dan bangga-banggakan, tetapi kejayaan yang paling besar adalah menyantuni emak dan abah. Dalam diam-diam, doa mereka adalah doa yang paling mustajab memberi kita jalan luas yang Tuhan sediakan.

Gembirakan emak dan abah adalah bahagia di dunia dan di akhirat. Itu mutlak.
Redha emak dan abah kepada anak adalah Redha Tuhan. Itu janji. 

Bersambung...

Khairul Hakimin. Muhammad
43650 Bandar Baru Bangi.
Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Kategori

#tulis2014 (3) 10negara (1) 2 Nurul (37) 30 resipi terbaik abuain (2) Abuain (115) abuainkitchenstudio (143) acheh (1) adunan (1) adventure (6) agom (2) alleppey (1) alumni (1) appertizer (1) art class (1) azreen yusof (3) babah ailebiu! (3) backpack 2.0 (12) BackPacker (42) bakar (3) banda aceh (3) belajar berniaga (1) bengkel blog (6) bengkel ebook (5) biskut raya (20) Blogger (10) breakfast (6) buah (1) bubur (1) Buku (23) buku resipi (6) cabaran (2) cabaran34hari (1) cabaran70hari (31) cafe (1) cake (1) catatan kehidupan (2) ceritarasa (15) chefadu (25) chefizyan (31) chiang mai (3) china (1) choc bars (3) chocolate (4) coaching (1) cochin (1) coklat (5) compote (1) corat coret (1) cupcakes (1) cuti sekolah (3) daging bakar (2) demo (1) desserts (101) dhuhawithme (1) diaribuatnurulain (6) doh roti (14) Drama dan Filem (3) dubook (1) ebook (14) ebook anak-anak (3) ebook kehidupan (3) ebook resipi (4) ebook tips (5) ebooktravel (11) emak rindu erissery (4) enampuluhliter (3) exhibition (3) fotografi (1) grill (1) houseboat (1) ibubapa (2) idola (1) ikan sungai (5) ikandilaut (20) ikon (1) Ilmu (3) india (21) indonesia (3) info rempah (1) inktober (1) izyanhani.com (3) jadual kelas (28) jalan-jalan (2) jalan-jalan keluarga (2) junior masterchef (7) kambing (3) kamera (1) kanak-kanak (6) kaum hawa (1) kawan (2) kebajikan (1) kedai makan (1) kehidupan (21) keju (2) kek (38) kek cawan (4) kek keju (2) kek kukus (1) kelas (20) kelas anak-anak (9) kelas melukis (5) kelas nasi beriyani (3) kelas online (5) kelasmemasak (36) keluarga (21) kerepek (1) keropok (1) ketam (1) khasiat (1) kids art & workshop (2) kmms (1) kochi (2) koko (1) Kompius (13) korban (2) korean bapsang (4) kuih raya (2) kukus (1) kurma (2) kurma balls (1) letsmasak (1) liputan media (2) lunch (4) maha2014 (1) majalah (5) Majlis Ilmu (23) Mak Abah (20) Makanan (11) mari mengaji (1) masakan (1) masakan anak-anak (1) Masakan Arab (5) masakan barat (11) masakan ikan (10) masakan india (24) masakan indonesia (2) masakan jepun (1) masakan kampung (47) masakan korea (4) masakan mee (2) masakan melayu (10) masakan thai (10) masakmasakblogger (5) masterchefmalaysia (9) mee (2) memanis kehidupan (24) memori (2) memori masakan ibu (2) mentakab (2) menulis (4) merdeka (1) MH17 (1) MH370 (1) minuman (2) momandkids (9) motivasi (1) msu (1) munnar (1) musafir (12) muslimbackpacker (12) nasi (6) nasi goreng (2) nasi kukus abuain (2) news (1) nubook (1) Nurul'Ain (3) pahang (1) pakejmakanmalam (1) Pameran Herba Malaysia (3) parota (1) pasta (1) pbakl (1) pemanis mulut (2) pemasaran (1) pencuci mulut (108) penerbit (14) pengalaman (7) pengat (1) penulis (33) penulis jemputan (7) penulisan (2) penulisbuku (30) perfume (2) Perkahwinan (6) pestabuku (1) photography (1) pie (2) produk abuain (2) projek100ebook (7) pru13 (1) puisi (3) pulut (1) ramadan (8) RAYA 2015 (2) raya2014 (1) rempah (2) rempah ratus (1) resepi (26) resepi ayam (17) resepi brownies (32) Resepi Jem (1) resepi kari (6) resepi kek (37) resepi kerabu (4) resepi pai (5) resepi pizza (7) resepi puding (7) resepi sayur (17) resipi berbuka (2) resipi biskut (23) resipi daging (21) resipi emak (3) resipi ikan (15) resipi kek (34) resipi kuih melayu (26) resipi minum petang (18) resipi minuman (1) resipi roti (17) resipi sihat (3) resipi sos (3) resipi sup (3) resipi tanpa bakar (3) resipi tart (1) resipi telur (4) resipi western (5) reviewkelas (5) ringkas (2) Sahabat (46) salad (2) salwa (1) sambal (7) sandwich (1) santanwangi (3) sarapan (10) Saya (95) sayangi anak (3) sayuran (16) seafood (8) sejuk beku (1) sembang produk (42) sembang travel (8) Seminar (2) senangnya memasak (3) SenyumPictures.com (12) sirah nabi (2) sotong dan udang (4) story (1) subway (1) Surat (4) talk (2) tart (1) teaser (1) tepung premix (3) thailand (16) tips berniaga (1) tips ramadan (6) tips sales online (1) tipsmengembara (2) tipstravel (9) tom yam (3) tradisi (6) travel (5) travelog (17) Travelog Kochi (8) trivia2014 (1) tsunami (2) universitylife (1) untuk wanita sahaja (1) ustaz (1) v (1) vege (1) visitmalaysia2014 (1) wajibbaca (22) wedding (1) western (5) workshop (1) wrap (1) yang pergi (2)